Sunday, August 9, 2009

Melengah katarak - Delaying cataract

Memakai cermin mata hitam dan topi untuk melindungi sinar ultra ungu matahari boleh melambatkan kemungkinan seseorang mendapat penyakit katarak.

“SAMA ada berlaku pada sebelah mata atau kedua-duanya, katarak disebabkan oleh kekaburan yang berlaku pada lensa dalam mata hingga menjejaskan upaya penglihatan.
“Kebanyakan kes katarak berhubung kait dengan faktor peningkatan usia,” ujar Pengerusi Persatuan Oftamologikal Malaysia, Prof. Dr. Che Muhaya Mohamad.
Jelas beliau, walaupun kebanyakan kes komplikasi penglihatan ini berkait rapat dengan usia, terdapat empat lagi jenis katarak yang tercatat dalam rekod perubatan.


Keempat-empat jenis itu ialah katarak sekunder (terjadi selepas pembedahan masalah mata lain), katarak traumatik (akibat kecederaan), katarak kongenital (katarak sejak dilahirkan atau terbentuk ketika usia kanak-kanak), serta katarak radiasi (pendedahan kepada radiasi).
“Secara teorinya ia bermula daripada perubahan yang terjadi pada lensa di belakang iris dan pupil. Lensa itu berfungsi sama seperti lensa kamera.


Kongenital katarak yang berlaku kepada kanak-kanak disebabkan jangkitan kuman seperti rubella

Protein yang sepatutnya bertujuan mencerahkan lensa dan membenarkan cahaya menembusinya itu boleh terkumpul secara berlebihan dan mengkaburkan permukaan lensa.
“Ketika inilah katarak bermula. Keadaan kabur itu boleh membesar dan bertambah buruk hingga membuatkan daya penglihatan seseorang bermasalah,” terang Che Muhaya yang tidak menolak kemungkinan penyakit diabetes dan tabiat merokok sebagai penyumbang katarak.
Selain pengumpulan protein, penglihatan terjejas apabila lensa yang jernih perlahan-lahan bertukar menjadi warna kekuningan atau keperangan.

“Lensa yang berubah warna itu membuatkan penglihatan dipengaruhi ton warna keperangan.
“Semakin lama permukaan lensa yang terjejas itu menyukarkan upaya seseorang melakukan aktiviti harian seperti membaca, memandu dan mengecam wajah,” ujar Che Muhaya.
Jika ada pendapat yang mengatakan bahawa katarak merupakan penyakit untuk warga tua, fikirkan semula. Istilah ‘penyakit mata berkaitan peningkatan usia’ itu sendiri suatu yang mengelirukan.

Sebenarnya, seseorang yang mendapat katarak tidak semestinya berusia lebih 60 tahun, sebaliknya sudah banyak kes yang dilaporkan berlaku di kalangan mereka yang berumur dalam lingkungan 40-an dan 50-an.

“Hanya dengan memakai cermin mata hitam ataupun topi dapat menghalang sinar ultra ungu matahari daripada menjejaskan mata, seterusnya melambatkan kemungkinan mendapat katarak.

“Kalau anda merokok, berhentilah,” kata Che Muhaya yang turut mengesyorkan pengambilan nutrisi yang baik seperti sayuran berdaun hijau, buah-buahan serta sumber makanan lain yang mengandungi agen antioksida.

Pesan beliau kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas: Jalani pemeriksaan mata komprehensif sekurang-kurangnya setahun sekali.

Selain dapat mengenal pasti petanda penyakit mata lain, rawatan awal bagi sebarang jenis komplikasi mata akibat usia boleh menyelamatkan deria yang penting itu.
sumber: kosmo

No comments:

Post a Comment